Tuesday, August 27, 2013

KACAK Part 2

Menumpang pahala yang beramal,
bila kita bersama mengingatkan.
Menumpang makbul doa yang soleh/ah,
bila kita saling mendoakan.
Bersama-sama menumpang redha Allah.
Moga  ada redha-Nya dalam setiap gerak laku kita. 

Memburu husnul khatimah: Ustaz Ridha

Redha Allah itu matlamat kita yang utama. Destinasi permulaan dan pengakhiran kita pastinya inginkan yang terbaik yakni syurga Allah. Tapi, ketentuan masa depan kita di akhirat nanti bergantung pada hubungan kita dengan Pencipta kita selama kita berada di dunia. 

Jadi, setiap inci hidup kita, berusahalah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Jangan sesekali 'curang' daripada mencintai-Nya. Sungguh ajaib keberanian manusia; bila suami minta izin untuk berpoligami; cepat benar si isteri melatah, bila si kekasih curang; kita marah, tapi bayangkan betapa teruknya kita bila sanggup memandang sepi kasih sayang Allah kepada kita? Allahu Rabbi..Semoga Allah ampunkan kita semua.

Berusahalah untuk mempersiapkan 3 bekalan yang takkan pernah putus untuk seorang hamba selepas kita mati;
1. Sedeqah
2. Ilmu yang dikongsi
3. Doa anak yang soleh
Bila disentuh tentang hal doa anak yang soleh, kita selalu mengimpikan untuk memperoleh anak-anak yang soleh berbanding mempersiapkan diri dalam menajdi anak yang soleh. Ingatlah, jika kita tidak menjadi anak yang menyumbangkan doa kepada ibu bapa kita sekarang; usah diharap doa dari anak-anak kita pada masa akan datang. Mulakan sesuatu kebaikan itu dengan diri sendiri. Mudah-mudahan Allah balas dengan sesuatu yang lebih baik.

Hadirmu Ya Rasulullah: Ustaz Syed Abdul Kadir al-Jufri

A032
Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
[AL-Hajj: 32]

Membesar-besarkan syiar itu antara cara menuju taqwa. Salah satu syiar yang terbesar ialah kelahiran Rasulullah SAW. Antara kisah menarik yang berlaku semasa kelahiran Rasulullah SAW ialah tentera bergajah berjaya dikalahkan oleh burung Ababil. Mengetahui kisah tanpa mengambil ibrahnya seolah hilanglah makna kita mengetahui peristiwa tersebut. Peristiwa ini menjadi bukti bahawa kumpulan yang kecil (makhluk kecil=burung Ababil) mampu mengalahkan kumpulan yang besar (makhluk besar=gajah). Pengajaran seterusnya yang perlu kita pelajari ialah ketaatan burung ababil ini dalam menuruti perintah Allah yang kadang-kadang segelintir manusia mengabaikan perintah Allah tanpa rasa berdosa. 

Keagungan peribadi Rasulullah SAW memang tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Malah syaitan, iblis, api, haiwan-haiwan terpaksa tunduk kepada Rasulullah SAW. Contohnya, sewaktu Rasulullah SAW lahir, syaitan mencuri perkhabaran itu dari langit tetapi selepas itu, tiada lagi berita yang boleh dicuri oleh syaitan lagi. 

"Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya."
(Riwayat Tirmizi).

Ustaz Syed sempat berpesan, dalam mentafsirkan hadis ini, kita jangan membuta tuli mencedok ilmu dari sesiapa pun. Hadis ini selalu menjadi dalil untuk umat Islam mencontohi Barat; kuasa dunia yang selalu diagung-agungkan. Ya, mungkin  banyak yang boleh dipelajari dari mereka tetapi janganlah sehingga kita menolak tepi ajaran dari Rasulullah dengan alasan ia hikmah yang hilang dari kita. Jangan menjadikan hadis ini sebagai tiket untuk kita mengamalkan budaya yang salah di sisi Islam. Jika benar kita mengakui kegungan peribadi Rasulullah SAW dan kesempurnaan Islam; maka kitalah yang perlu menzahirkannya dengan perbuatan dan akhlaq kita. 

Dalam kehidupan kita sebagai seorang hamba, kita tidak hanya ada diri sendiri untuk bergantung atau berharap. Kita punya Tuhan untuk kita memannjat doa kepada-Nya. Berdoalah dengan tunduk dan penuh rasa khusyuk serta berusaha untuk memahami dan menyebutnya; bukan sekadar berdoa dalam hati. Melafazkan doa itu ada kaitan dengan mindset yakni kita bukan sahaja memberitahu pada Allah tentang hajat kita malah kita sebenarnya secara tak lansung sedang mengingatkan diri kita tentangnya. 

Insafilah;
Kita ada Pencipta.
Kita ini hamba.
Dunia ini sementara.

No comments: