Friday, March 30, 2012

Aku mencintai dia kerana Dia.

Aku mencintai dia kerana Dia.

Fikiranku menerawang saat memikirkan soalan yang diajukan oleh seorang sahabat tentang cintaku terhadapa dia. Walaupun nota terbuka di depan mata, otakku ligat memikir detik-detik aku mula memupuk dan terus berusaha meneguhkan kecintaanku kepada dia.

Lantas aku titipkan warkah ini sekadar untuk menjadi satu peringatan buat diriku agar terus menyayangi dan merindui dia.

Mengimbas kembali soalan-soalan yang diajukan satu persatu oleh sahabatku tadi; hati ini tidak putus-putus berdoa agar rasa yang dikurniakan oleh Allah ini tidak ditarik dariku sehingga nyawa tidak lagi dipinjamkan oleh-Nya.

‘Bila achik rasa cinta achik terhadap dia disemai sejak belajar di sini?’
Aku terkedu. Aku tiada jawapan untuk itu. Tidak masa yang tertentu aku mencintai dia. Aku sebolehnya ingin sentiasa mencintai dia. Sentiasa. Selalu. Selamanya mahu aku.

Jangan pelik mengapa begitu sukar untukku menukar profile picture FB aku kepada yang lain. Kerana aku ingin terus setia bersamanya. Selagi cintaku kepadanya masih belum aku hebahkan kepada mereka yang lain, aku tidak mahu dia diduakan sebegitu rupa.

Usah ditanya mengapa aku bersungguh-sunggguh mencari chorus lagu Freedom itu di sana sini dan akhirnya aku cut sendiri untuk dijadikan ringtone handphoneku? Kerana lagu itu doaku untuk dia. Lagu itu seruan diriku kepada mereka untuk sama-sama mendapatkan kebebasan untuk dia.

Ya, dia Palestina tercinta.

Pernah dulu suatu ketika aku dituduh tidak mengambil tahu tentang keadaan saudaraku di sana. Aku marah sendiri. Pada awalnya, jujur aku sakit hati dengan tuduhan itu. Tetapi akhirnya aku sedar, marahku itu harusnya untuk diri sendiri. Kerana  aku di saat itu seakan tidak berbuat apa-apa untuk dia. Aku yang minatnya membaca ini lansung tidak mempunyai sebuah buku pun tentang dia. Bila lapar, dengan hanya memikirkan nafsu sendiri, aku akan mula menempah milo ais, nescafe, pizza hut, McD etc untuk memuaskan nafsu yang lansung tidak mengasihani dia yang dibunuh dengan kejam di sana berbekalkan sumbangan kiriman wangku.

Sungguh, hidayah itu milik-Nya. Saat dia diperkosa dengan rakus di bumi sendiri, aku mula sedar akan perananku di sini. Aku sedar akan haknya ke atas aku. Aku mula mengambil tahu tentang dia. Yang paling menusuk jiwa bila aku pernah diingatkan bahawa hakikatnya aku sedang berhutang budi dan nyawa pada dia. Mengapa? Kerana jika dia mengalah dan menyerah kepada rejim yang zalim itu, mereka akan meneruskan kekejaman mereka kepada negara-negara lain termasuklah negaraku ini. Jadi, mengapa tidak aku harus mencintai dia? Moga tetap teguh cinta ini. Moga sahabat semua bersamaku untuk terus mencintai dia. Moga kita dapat sama-sama membawa kemenangan Islam di bumi Palestina tercinta.

CC:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang membuka pintu hati kami yang penuh dosa ini.
Buat adik, yang bertanya.
Buat kakak yang membelanja.
Buat sahabat-sahabat lain yang turut bersama.

~Kita Hamba; usai me’recharge semangat bersama sahabat-sahabat di Global March to Jurusalem, Stadium Melawati Shah Alam.